RM4.8 juta kompaun kesalahan rokok dikeluarkan - Utusan Malaysia

RM4.8 juta kompaun kesalahan rokok dikeluarkan

KAPSYEN FOTO: DZULKEFLY (dua kiri) menampal pelekat larangan merokok di premis-premis dikunjunginya pada operasi penguatkuasaan bersepadu bagi Akta 852 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281) di Sungai Besi, di sini, semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,340 kompaun bernilai kira-kira RM4.8 juta telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan individu atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak 1 Oktober 2024 hingga 31 Januari lalu di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kompaun tersebut membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 47 akta berkenaan, hasil daripada 7,228 operasi yang dijalankan terhadap 142,158 premis yang diperiksa.

“Selain itu, sebanyak 162,229 tindakan penguatkuasaan pendidikan telah dilaksanakan dalam tempoh sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bagi Akta 852 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281) di Sungai Besi di sini, semalam.

Sementara itu menurutnya, sebanyak 1,430 notis kesalahan telah dikeluarkan mengikut Seksyen 16 iaitu larangan merokok di kawasan larangan dalam 160 operasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 1 Oktober tahun lalu sehingga 3 Februari lalu.

Tambahnya, tiga notis kesalahan turut dikeluarkan mengikut Seksyen 18 akta yang sama.

“Dalam operasi kali ini yang bermula sejak 5 Februari hingga hari ini (semalam), sebanyak 299 premis di pasar malam dan kawasan sekitarnya telah diperiksa, menyaksikan 105 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Akta 852 dan Akta 281.

“Bagi kesalahan di bawah Akta 852, satu notis dikeluarkan mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 12, manakala 62 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 serta tiga notis di bawah Seksyen 18.

“Manakala bagi Akta 281, sebanyak 38 notis telah dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly turut menyampaikan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada empat premis makanan yang memenuhi keperluan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 13,307 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan BeSS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya