Yayasan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) membiayai 1,699 pelajar melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara selama 23 tahun yang bermula tahun 2000 melibatkan peruntukan RM32.3 juta.
Presiden Angkasa Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pembiayaan tanpa faedah itu membabitkan tajaan dan biasiswa kepada pelajar anak ahli koperasi mencapai tahap pendidikan tertinggi.
Menurutnya, bilangan pelajar pembiayaan Yayasan Felda dari tempoh 2000-2022 seramai 1,506 pelajar dengan jumlah pembiayaan RM29.8 juta.
“Pengambilan baharu tahun 2023 membabitkan 193 pelajar dengan pembiayaan sebanyak RM2.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian pembukaan program Motivasi Pelajar Yayasan Angkasa Bersama Komuniti Felda Gugusan Sungai Koyan Sesi di Laman Sejahtera Felda Sungai Koyan baru-baru ini.
Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri , Datuk Amizar Abu Adam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Bentong, Pahang.
Program tersebut berlangsung selama empat hari tiga malam disertai 120 pelajar daripada semua universiti awam. Pelbagai aktiviti telah di susun.
Antara program pengisian adalah aktiviti sukan rakyat bersama keluarga angkat dan komuniti.
Menurutnya, pembiayaan Yayasan Angkasa ditukar sebagai biasiswa kepada anggota dan anak- anak anggota koperasi yang mencatatkan pencapaian cemerlang dalam pendidikan.
“Untuk rekod, jumlah pembiayaan ditukar kepada biasiswa sehingga pengambilan 2019 sebanyak RM11.2 juta manakala bagi tahun 2023 sebanyak RM795,582,” katanya. – UTUSAN