RM300 satu episod? Saya tidak kemaruk job - Adam Corie - Utusan Malaysia

RM300 satu episod? Saya tidak kemaruk job – Adam Corie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU tanya budak-budak, Adam Corrie mereka tidak kenal. Tapi ‘Dragon’ mereka tahu siapa. Karakter itu begitu melekat meletakkan Adam Corrie sebagai antara pelakon aksi dan samseng ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia. Lihat sahaja filemografinya, tidak ada satu naskhah lakonannya yang tidak pecah panggung.

Namun Adam Corrie atau Adam Corrie Lee Abdullah, 56, entah kenapa semakin hilang di layar. Samar-samar semakin dilupakan apa lagi lima tahun belakangan ini. Apa yang diketahui, dia sibuk menguruskan program menaja mualaf menunaikan umrah juga sibuk menguruskan perniagaan kafe KOPIHUT yang sudah memasuki empat cawangan.

Pancaindera pun menghubungi Adam kerana mahu bertanya khabar. Adakah sudah semakin memilih? atau sudah cuci tangan daripada kerja-kerja seorang pelakon? Jawablah Adam Corrie!

Rasanya lama betul tidak nampak Adam di mana-mana naskhah. Filem apatah lagi. Apa cerita Adam sekarang?
Memang saya sudah lama mahu buka cerita mengenai ujian seorang pelakon. Sebelum itu, saya mahu anda faham, kalau hendak jadi pelakon di Malaysia, syaratnya ada dua. Pertama, kau kena kacak atau cantik. Kedua, kau tidak boleh tua.

Baru-baru ini saya dapat tawaran lakonan, tapi mereka mahu bayar RM300 untuk satu episod. Saya tegaskan sekali lagi, bukan satu scene atau satu hari ya. Tapi satu episod. Benda ini baru sahaja berlaku tiga bulan lepas.

Memang saya tiada tawaran berlakon, tapi saya tidak kemaruk mahu job sampai tawarkan saya RM300. Jangan hina saya begini. Saya tiada pula telefon penerbit merayu minta kerja. Teruk sangatkah saya? Tiada orang kenalkah siapa Adam Corrie?

Semuanya disebabkan saya sudah menjelang tua. Mereka mungkin fikir ‘Adam tiada kerja sekarang, ambil sahaja dia berlakon, harga boleh ‘kautim’ ’. Watak yang tepi longkang, itu sahajalah muka Adam Corrie. Maaf agak beremosi sebab saya marah dihina.

Adakah ini kali pertama Adam ditawarkan berlakon dengan harga rendah?
Sudah tentu tidak. Sebelum ini, pun ada yang mahu bayar sehari RM150 untuk telefilem. Belum lagi yang kononnya mahu panggil berlakon filem. Kita dengar memang syok, iyalah siapa tidak mahu berlakon filem. Tetapi mahu tawarkan saya bayaran RM1,500.

Pesan saya kepada penerbit di luar sana, tolonglah jangan dihina orang sebegini rupa. Tidak berkat duit anda, sebab itu banyak penerbit gulung tikar.

Syukurlah Allah beri rezeki saya buka restoran, saya tidak mahu riak. Tapi bila orang buat saya begini, siapa boleh tahan?

Tapi saya kasihan kepada artis lain yang sudah berusia tapi duduk di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR). Sebab apa? Sebab penerbit macam mereka yang tawarkan harga begitu. Tapi iyalah, ini Malaysia. Nasib artis kita tidak seperti di Hollywood. Semakin tua semakin ‘mahal’.

Adam rasa, terukkah ‘double standard’ dalam industri seni di Malaysia ini?
Bukan hanya tentang watak. Layanan apatah lagi. Pernah suatu ketika di set penggambaran, penerbit puji saya melambung tinggi katanya saya bagus, berdisiplin. Tapi yang selalu dapat kerja, tetap pelakon bermasalah kerana dia ada rupa.

Saya pernah dimarahi depan semua orang sebab saya lewat 10 minit. Tapi pelakon itu lewat 4 jam tidak hafal skrip, satu suara pengarah pun tidak berbunyi. Buat macam tiada apa yang berlaku.

Pernah saya dilayan macam bola. Waktu itu saya tiada kerja, penerbit tolak saya ke sana sini. Hantar saya ke kenalan mereka. Penerbit kaya yang buat saya begini, tetapi bayaran tetap sedikit juga. Itu belum lagi yang bagi kerja kepada kroni.

Bolehkah dikatakan Adam sudah tawar hati dengan industri?
Saya sudah lama tawar hati, cuma saya tidak bising sahaja. Buat apa saya bising? Saya mengadu semua dengan Allah sahaja setiap hari. Cuma kalau ada peluang begini bertemu media, saya akan bercakap.

Saya pernah difitnah sehingga stesen televisyen ‘gam’ saya sampai tiga tahun tanpa selidik terlebih dahulu.

Apa yang menyedihkan industri ini, setiap kali kita bersuara atau pertahankan hak, kita akan dilabel ‘demand’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya