KUANTAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon peruntukan berjumlah RM150 juta bagi menambak kawasan di sepanjang Pantai Cherating di sini, yang terjejas akibat hakisan.
Pengarah JPS Pahang, Ir. Mohd. Sha’ri Mohammed berkata, peruntukan itu sudah dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Untuk Pantai Cherating, bajet sudah pun dimohon dalam RMK13 untuk menjalankan kerja-kerja menambak di kawasan terjejas hakisan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan aduan pengusaha chalet di Kampung Inn, Pantai Cherating Lama yang meminta kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan di pantai itu yang berlarutan sejak September tahun lalu.
Akibat hakisan yang berlaku, lebih 35 pokok kelapa dan rhu musnah manakala yang masih ada menunggu masa untuk tumbang.
Tambah Mohd. Sha’ri, JPS juga sedang menjalankan kajian Pelan Pengurusan Garis Pantai Bersepadu (ISMP) Negeri Pahang menerusi perunding dilantik.
“Tahap hakisan berbeza mengikut lokasi. Kajian akan siap pada hujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN