RM1.7 juta untuk 124 kakitangan bomba ditimpa musibah 

RM1.7 juta untuk 124 kakitangan bomba ditimpa musibah 

AHMAD Izram Osman (tengah) menyampaikan bantuan kewangan kepada waris pegawai dan kakitangan bomba yang meninggal dunia di  Ibu PejabatJabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyalurkan bantuan sebanyak RM1.7 juta kepada 124 pegawai dan kakitangannya yang ditimpa pelbagai musibah sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Datuk Ir. Ahmad Izram Osman berkata, peruntukan tersebut adalah hasil bantuan Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) dan takaful berkelompok untuk pegawai dan kakitangan yang meninggal dunia, mengalami kecederaan serta sakit kritikal.

Katanya, daripada jumlah itu, 74 adalah kes kematian, 24 kes kecederaan, 17 penyakit kritikal dan bakinya adalah bantuan peralatan kesihatan.

“Penyakit kritikal yang berlaku terhadap pegawai dan anggota kita kebanyakannya ialah kanser, sakit jantung, strok dan buah pinggang. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga dan waris untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya ketika lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Biro Kebajikan Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita JBPM (PERISMA) Terengganu menyampaikan bantuan bernilai RM21,000 kepada  11 waris pegawai serta kakitangan bomba yang meninggal dunia.

Sementara itu, beliau berkata, JBPM menerima sebanyak 915 panggilan kecemasan untuk operasi menyelamat sepanjang banjir melanda Sabah dan Sarawak setakat ini.

Katanya, daripada jumlah itu, 550 panggilan yang diterima adalah dari Sarawak manakala bakinya dari  Sabah.

Katanya, hasil aduan yang diterima itu, JBPM melaksanakan 81 operasi di Sabah dan menyelamatkan 1,325 mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Di Sarawak pula, JBPM telah menjalankan 62 operasi dan menyelamatkan 2,681 mangsa. Setakat ini, perkembangan banjir di Sabah dan Sarawak masih dalam keadaan terkawal dan masih belum memerlukan sebarang tambahan tenaga kerja dari Semenanjung Malaysia,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya