PETALING JAYA: Kerajaan menyalurkan sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan membaik pulih kemudahan asas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian dana segera itu bertujuan untuk mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih kemudahan lif yang rosak sejak sekian lama.
Anwar turut memberi amaran tegas bahawa kelewatan dalam kerja pembaikan, khususnya lif yang sering rosak, tidak akan diterima.
“Saya mahu laporan mengenai status kerja-kerja baik pulih lif dalam tempoh seminggu. Tidak boleh lagi ada kes di mana lif masih rosak selepas Ramadan atau Hari Raya,” katanya ketika berucap pada Hari Anugerah Forum Komuniti (FORKOM) Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan di PPR Lembah Subang 1 di sini, hari ini.
Anwar turut memaklumkan, kerajaan telah membelanjakan RM185 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan di PPR.
“Dalam tempoh dua tahun sebelum ini, RM100 juta telah diperuntukkan, menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi projek baik pulih ini mencecah RM285 juta,” katanya.
Selain itu, beliau meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menyenaraikan penghuni yang menetap di perumahan tersebut bagi memastikan kadar sewa yang dikenakan adalah munasabah.
“Sekiranya terdapat isu berbangkit, ia perlu segera dikemukakan kepada pihak berwajib, termasuk ahli majlis, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli Parlimen bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, PPR Lembah Subang 1 akan dijadikan model contoh bagi semua projek perumahan rakyat di negara ini. – UTUSAN