PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di sembilan negeri sehingga jam 6 petang ini.
METMalaysia menerusi kenyataan berkata, amaran itu melibatkan beberapa daerah di Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Katanya, bagi negeri Perak, kawasan yang terlibat ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Di Pahang, amaran meliputi Cameron Highlands, Lipis, Raub dan Rompin, manakala di Selangor membabitkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
“Bagi Johor, kawasan yang dijangka terjejas ialah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, sementara di Negeri Sembilan, ia melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau.
“Keseluruhan Kuala Lumpur dan Melaka juga dijangka mengalami keadaan cuaca buruk ini,” katanya.
METMalaysia turut memaklumkan, kawasan yang terlibat di Sabah adalah Pedalaman yang meliputi Sipitang, Tenom dan Beaufort, manakala di Sarawak, amaran dikeluarkan bagi kawasan Limbang.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca buruk ini. – UTUSAN