PETALING JAYA: Pelakon, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, bersyukur kerana menerima banyak tawaran berlakon lebih-lebih lagi selepas kisah kesusahannya dan keluarga mendapat perhatian media.
Anak sulung pelakon popular era 80-an, Dharma Harun Al- Rashid itu memaklumkan tambah melegakan apabila hasil pendapatan yang diraihnya menerusi tawaran-tawaran berkenaan dapat digunakan untuk membantu keluarga.
“Saya berterima kasih kepada rakan wartawan yang menulis mengenai cerita kesusahan kami sekeluarga.
“Alhamdulillah, sekarang semakin banyak tawaran berlakon yang saya terima, antaranya memegang watak utama dalam klip video lagu Nuri Terbang Malam nyanyian Datuk M. Nasir.
“Selain itu saya juga dipelawa untuk terlibat dalam telefilem Kapal Haji yang akan ditayangkan di Singapura pada Hari Raya Aidiladha nanti.
“Pada masa yang sama, ada juga beberapa kerja peragaan yang saya terima. Saya amat bersyukur. Setidaknya pendapatan yang saya dapat boleh digunakan untuk bantu keluarga dan menampung keperluan pembelajaran saya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Tahun lalu media melaporkan Dharma menanggung tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 selepas kehilangan tawaran berlakon akibat masalah kesihatan yang ditanggungnya.
Bukan mahu menagih simpati, Syafiq berharap kisah kesusahan keluarganya yang dilaporkan media dapat memberi inspirasi kepada masyarakat.
“Dalam susah, banyak juga perkara baik yang kami terima.
“Antaranya apabila saya meraih keputusan cemerlang sekali gus menerima anugerah kecemerlangan dalam pengajian di ASWARA.
“Saya harap kisah kami dapat memberi inspirasi kepada masyarakat. Insya-Allah, selepas Tuhan duga kita, pasti ada sinarnya. Dalam susah pasti ada kesenangan,” katanya.
Syafiq dalam masa yang sama memaklumkan terpaksa menolak mana-mana tawaran lakonan yang bercanggah dengan jadual pengajiannya di ASWARA.
“Jujur kata, memang banyak tawaran saya terima. Tapi ada yang terpaksa saya tolak kerana bercanggah dengan jadual belajar.
“Apabila sudah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda, saya tak dibenarkan ponteng kelas kerana ia akan mengganggu prestasi.
“Jadi saya hanya berlakon bila berkelapangan,” katanya lagi.
Syafiq dalam pada itu tidak menafikan terkesan dengan kecaman masyarakat sejurus selepas kisahnya melanjutkan pelajaran dan tidak bekerja menerima perhatian umum.
“Memang saya sedih bila dikecam kerana masih tidak bekerja pada usia sekarang. Saya bernasib baik kawan-kawan banyak memberi semangat dan membantu.
“Memang benar, bila saya belajar, ekonomi keluarga terganggu. Tapi saya mahu tamatkan belajar dulu sebelum bekerja dalam industri seni.
“Lagi pun saya tidaklah lari bidang, belajar pun dalam jurusan lakonan dan filem. Bidang ini yang saya mahu ceburi sepenuh masa di kemudian hari,” jelasnya.