Pencetus revolusi genre hiphop dan rap di Malaysia, kumpulan KRU yang di anggotai tiga beradik iaitu, Norman, Edry dan Yusry mula mencetak nama seawal era 90-an ketika berada di bangku sekolah.
Walaupun pada era tersebut industri muzik Malaysia banyak dipelopori artis dan kumpulan yang membawa irama pop, rock serta ballad namun trio ini menongkah arus dan mencipta fenomena tersendiri, sekali gus berjaya merubah landskap industri muzik tanah air.
Itulah keunikan yang dicipta mereka, malah pendedahan budaya serta muzik moden di usia remaja sewaktu berada di luar negara banyak membantu trio ini untuk melakukan eksperimentasi dalam karya yang dihasilkan bertepatan dengan gelombang arus muzik di rantau ini
Berjaya menakluk penonton dengan persembahan memukau melalui beberapa siri persembahan sebelum ini, KRU terus menjadi buah mulut peminat terutamanya bagi individu yang membesar di era kegemilangan mereka.
Sekali lagi sejarah bakal tercipta apabila KRU akan menemui peminat mereka dalam siri konsert selama tiga malam di Axiata Arena Bukit Jalil, sekali gus meletakkan kumpulan ini berada pada kelas tersendiri apabila jualan tiket laris seperti pisang goreng panas setelah terjual habis dalam masa beberapa jam.
BUKAN NAK KEJAR REKOD
Menurut Norman Abdul Halim, dia bersyukur atas sambutan yang diterima, malah tidak menyangka tawaran untuk mengadakan persembahan selama satu malam terpaksa dilanjutkan menjadi tiga malam gara-gara permintaan tinggi daripada peminat.
Tidak menafikan banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak sebelum ini, Norman menjelaskan bukan mudah untuk memberi kata putus apatah lagi perlunya ada perbincangan bersama dengan Edry dan Yusry memandangkan masing-masing sudah punyai komitmen dan tanggung jawab bersama keluarga.
“Selepas Covid-19 tempoh hari, KRU terima banyak tawaran untuk buat konsert walaupun kami telah putuskan untuk buat ‘pembubaran’ pada 2018. Walaupun begitu kami sama sekali tidak buat sebarang keputusan kerana berpendapat jika sekadar ingin buat konsert biasa ia langsung tidak memberi sebarang makna.
“Jika hendak buat comeback mesti ada perancangan rapi, sebab itulah kami ambil langkah jalinkan kerjasama dengan Sony Music untuk promosikan material terbaharu KRU, bertepatan dengan konsert akan datang,” ujarnya.
Setelah berjaya dengan single bertajuk Voodo pada tahun lalu, kini Norman merancang untuk mengeluarkan satu lagi single pada awal tahun ini yang bertajuk One More Times sebelum pembikinan sebuah album studio sempena konsert yang akan berlangsung pada bulan Mei nanti.
Menurutnya, kesediaan menerima tawaran daripada pihak Icon Entertainment bukan bermakna KRU tidak mampu melaksanakan penganjuran melalui syarikat milik mereka KRU Arena, tetapi apa yang membataskan adalah komitmen sedia ada.
“Saya sudah bincang dengan adik beradik, kami pun dah sebulat suara tak mahu pening kepala bila nak jaga bisnes dan pada waktu sama nak praktis. Sebab itulah kali ini KRU bekerjasama dengan Sony Music agar kami boleh berikan tumpuan sebagai artis.
“Alhamdulillah, kerjasama dengan Icon Entertainment dapat hasil yang baik terutamanya dari sudut promosi dan jualan tiket. Walaupun ia merupakan detik bersejarah kepada KRU kerana berpeluang buat persembahan selama tiga malam, tapi bukan bertujuan hendak kejar rekod atau sebagainya. Paling penting kami dapat penuhi permintaan peminat,” ujarnya
Menurut Norman, KRU telah melangkaui pelbagai generasi, atas faktor tersebut konsert ini dinamakan GenKRU kerana penglibatan mereka yang merentasi Gen X sehingga kini, sekaligus memberi makna muzik mereka diterima oleh pelbagai lapisan peminat.
Cuba memahami isi hati peminat, Norman akui berasa sedih apabila ramai yang menghubunginya gara-gara kehabisan tiket, oleh itu peluang mengadakan persembahan selama tiga malam sekurang-kurangnya dapat memenuhi permintaan mereka walaupun tidak menyangka situasi tersebut berlaku.
“Saya terharu dan sebak kerana percaya ini adalah momen yang mereka nantikan. Mungkin dahulu mereka semua tak mampu beli tiket kerana masih kecil dan bersekolah, namun hari ini semua sudah ada kerjaya dan mampu keluarkan wang ringgit.
“Jadi, mereka ingin mengulangi serta mengimbau semula pengalaman dan memori lama, pastinya kami akan selitkan momen yang boleh mereka abadikan dalam lipatan sejarah kehidupan. Satu penghormatan besar buat kami untuk bersama-sama mereka merayakan ulangtahun KRU yang ke-33,” katanya.
BUKAN SEKADAR MEMBINA NAMA
Menurut Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang tercetusnya idea untuk membawa KRU ke pentas besar adalah pada penghujung tahun 2022 selepas kejayaan mereka membuat persembahan di Istana Budaya.
Namun ketika itu Yusry mengatakan bahawa mereka sudah bersara dan masing-masing punya komitmen sendiri, termasuk Edry yang ketika itu berhijrah ke United Kingdom. Namun menurut Iman, perancangan tersebut mungkin boleh direalisasikan apabila sampai waktunya di mereka semua berada di Malaysia.
“Kita mengenali KRU sejak era 90-an lagi. Selain berbakat besar dari segi mencipta dan compose muzik, mereka juga berjaya cetuskan revolusi muzik di era tersebut. KRU boleh dianggap sebagai salah sebuah kumpulan legend di Malaysia.
“Sebenarnya KRU ini buat konsert bukanlah untuk bina nama mereka, tetapi lebih kepada meraikan peminat. Sebab itulah persembahan selama tiga malam dapat sambutan luar biasa. Bayangkan sehingga kini tiket untuk malam ketiga sudah terjual lebih 70 peratus, jadi jika kita buat dua malam sahaja pastinya hampir 7,000 peminat yang tidak berkesempatan untuk menonton,” katanya.
Menurut Iman lagi, Apa yang dirancangkan sekurang-kurangnya dapat merealisasikan impian peminat. Niatnya bukan mencari keuntungan semata, tetapi lebih untuk memberi pengiktirafan serta menaikkan martabat artis tanah air.
Ditanya tentang perancangan masa hadapan untuk membawa artis dari luar negara, Iman menegaskan hal berikut bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi perlunya ada perancangan teliti dan rapi.
“Memang ada idea dan perancangan untuk bawa artis luar buat persembahan di Malaysia tetapi kita juga sedia maklum di sini juga ada banyak promoter-promoter yang melakukan kerja yang sama.
“Saya tidak suka berlumba dan tergesa-gesa, jika ada rezeki untuk saya, Alhamdulillah, perlu lihat dahulu situasi apa yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.