ALOR SETAR: Polis merakam keterangan seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal tanpa lesen selepas dipercayai melanggar pejalan kaki di hadapan Masjid Zahir, di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9.40 malam kelmarin sewaktu warga emas wanita yang berusia 65 tahun sedang melintas di kawasan lintasan pejalan kaki.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Trafik Kota Setar pada pukul 12.06 tengah hari, semalam.
“Siasatan awal mendapati beberapa kenderaan telah berhenti untuk memberi laluan kepada jemaah masjid melintas di kawasan lintasan pejalan kaki. Namun motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun serta dibonceng remaja perempuan berumur 13 tahun tiba-tiba melanggar individu itu,” katanya di sini, hari ini.
Kejadian dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan dengan klip video berdurasi seminit 20 saat tular di media sosial yang mengundang kemarahan ramai ekoran penunggang serta pembonceng motosikal itu terus beredar meninggalkan mangsa selepas dilanggar.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika beberapa jemaah baru keluar dari masjid negeri itu selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Sempena Nisfu Syaaban Peringkat Negeri Kedah.
Siti Nor Salawati berkata, warga emas itu kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan dan remaja lelaki terbabit telah tampil ke Balai Polis Trafik Kota Setar kira-kira pukul 7 petang semalam untuk membuat laporan.
“Semakan mendapati dia tiada lesen memandu. Motosikal itu turut disita dan pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat modifikasi dilakukan terhadap kenderaan terbabit.
“Saksi kejadian diminta tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd. Khairulnizam Abdul Aziz di talian 04-7321222 atau 011-2830767 bagi membantu siasatan,” katanya.