MACHANG: Seorang remaja maut manakala dua rakannya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Jalan Kampung Pulai Chondong di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Muhammad Aliff Hasnan, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Zulhairy Zulkafli dan Che Danish Aqif Che Ayob yang juga masing-masing berusia 18 tahun mengalami kecederaan pada tangan serta kaki.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd. Nazri Taib berkata, anggota bomba mendapati seorang penumpang tersepit di dalam kereta jenis Honda Jazz yang dipandu oleh Zulhairy.
“Zulhairy dan Che Danish Aqif dapat keluar dari kereta terbabit. Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan Muhammad Aliff yang tersepit di dalam kereta itu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. – UTUSAN