Rela hati tidak sambung kontrak, Sharifah Shahirah mahu berehat - Utusan Malaysia

Rela hati tidak sambung kontrak, Sharifah Shahirah mahu berehat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh tahun bersama Suria FM, pelakon Sharifah Shahirah kini tidak lagi berkhidmat sebagai penyampai radio di stesen tersebut bermula 15 Februari lalu.

Menurut Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Rara, pengunduran dirinya dari stesen radio tersebut kerana kontraknya sudah tamat selain mahu berehat buat seketika.

“Saya berhenti kerana habis kontrak. Mereka memang mahu sambung kontrak saya, tetapi saya dengan rela hati menolak tawaran itu kerana mahu berehat buat sementara itu.

“Lagipun sudah terlalu lama saya menjadi penyampai radio di sana, takut orang bosan pula,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Shahirah tegas menafikan dakwaan dirinya diberhentikan dari mengendalikan segmen Suria Petang sama seperti rakan regunya, Tyzo.

“Saya pernah berada dalam situasi Tyzo. Pada saya, rombakan dalam tempat kerja itu sering berlaku. Tetapi, dakwaan itu tidak ada kena mengena dengan situasi saya sekarang.

“Kali ini, memang saya ambil keputusan untuk tidak sambung kontrak dan berehat dahulu. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan ada yang rindukan saya, kita akan sambung semula. Rezeki itu ada di mana-mana juga,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Shahirah memaklumkan dia akan terus melakukan kerjaya seninya sebagai pelakon malah sedia menerima tawaran untuk membintangi mana-mana drama.

“Sekiranya ada tawaran yang datang, saya akan pertimbangkan. Saya masih lagi bekerja dan aktif dalam industri. Kalau ada tawaran berlakon, saya akan kembali berlakon,” ujarnya.

Shahirah mula bertugas di Suria FM pada 2018 menerusi segmen Suria Pagi di Suria FM bersama Fizi Ali dan Zulin Aziz.

Kemudian, dia mengendalikan segmen Suria Petang bersama Chiwan dan Kai Hassan yang bersiaran pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

Sebelum ini, Suria FM telah mengumumkan rombakan dalam susunan penyampai dan segmen di mana segmen Suria Cinta kendalian DJ Lin hanya akan bersiaran pada hujung minggu.

Posisi Suraya Borhan dalam segmen Morning Morning Suria pula akan digantikan oleh Khai Hassan manakala Suraya pula akan mengendalikan segmen hujung minggu.

Manakala, penyampai baharu Nur Imanina Mohd Hisham bakal mengendalikan segmen malam menggantikan segmen Suria Cinta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN