SHAH ALAM: Pelakon, Redza Rosli menafikan khabar angin yang isterinya, Bella Hanna berbadan dua.
Pelakon berusia 32 tersebut yang ditemui media pagi tadi memaklumkan cerita yang berterbaran di media sosial mengenai perkara tersebut sama sekali tidak berasas.
“Memang saya ada terbaca cerita itu, tapi ia tidak benar.
”Kalau isteri hamil, saya akan kongsikan. Tiada apa yang perlu saya rahsiakan mengenainya.
“Cukuplah saya rahsiakan perkahwinan saya sebelum ini.
”Dan kami tidaklah menolak rezeki menimang cahaya mata. Kami terima seadanya,” katanya.
Redza ditemui sempena sidang media drama Dendam Seorang Madu terbitan Astro.
Turut hadir adalah barisan pelakon drama itu termasuk Hannah Delisha, Sweet Qismina, Lorenzo Irmann dan Lisdawati.
Dalam masa yang sama, Redza berharap dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebelum dikurniakan cahaya mata.
”Tangungjawab ketua keluarga ini besar dan bukan mudah. Sebagai suami, saya kena sempurnakan setiap perkara termasuklah ibadah dan sebagainya.
“Jadi harapnya saya bersedia untuk sempurnakan semua itu sebelum bergelar bapa nanti,” katanya.
Terdahulu Redza dan Bella selamat bergelar suami isteri pada 21 Jun, tahun lepas.- UTUSAN