Rasuah: Bekas KSU bebas, anak kekal bersalah - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas KSU bebas, anak kekal bersalah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta atas kesalahan bersubahat menerima rasuah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuannya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah terhadap anak beliau, Ahmad Zukhairi.

Panel terbabit turut mengekalkan denda RM9.6 juta yang dikenakan terhadap ahli perniagaan itu namun mengurangkan hukuman penjara dari lima tahun kepada empat tahun. Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu, ketika membaca penghakiman panel terbabit, Hakim Azizul Azmi menyatakan bukti mengikut keadaan tidak mencukupi dalam membuktikan penglibatannya.

“Secara keseluruhannya, keterangan (yang dikemukakan) tidak menyokong perbuatan bersubahat dan keterangan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya tidak boleh dianggap bersubahat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Bagi Ahmad Zukhairi pula, Hakim Azizul Azmi berkata, tiada kekhilafan atas dapatan mahkamah berhubung sabitan salah kerana ia adalah satu dapatan fakta.

“Mahkamah Rayuan tidak mendapati bahawa terdapat salah arah oleh mahkamah terdahulu yang menyebabkan memerlukan pembebasan. Sabitan terhadap tertuduh kedua (Ahmad Zukhairi) adalah selamat dan dikekalkan.

“Oleh itu, rayuan perayu pertama (Mohd Arif) dibenarkan manakala rayuan perayu kedua ditolak,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhairi menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di ibu negara antara pukul 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi pula didakwa atas empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama menerima suapan wang tunai dolar Singapura jumlah yang sama daripada Mohd. Safian yang juga Pengarah Wazlina Sdn. Bhd. (Wazlina) pada masa, tarikh dan tempat sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hidbrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn. Bhd. (Eramaz).

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd. Safian sebagai upah untuknya dan bapa kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn. Bhd. untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning jam 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya