KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang anggota polis sebanyak RM5,000 selepas mengaku bersalah di bawah pertuduhan pilihan menerima rasuah RM1,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Aziz Mustapha, 33, turut dikenakan perintah oleh Hakim Mohd. Azhar Othman, hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh yang bertugas sebagai konstabel pelatih yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah Besut ketika itu didakwa menerima RM1,000 daripada seorang lelaki tanpa balasan.
Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan pada 8 Oktober 2023 di kawasan tempat letak kereta Medan Selera Kota Putera di dalam daerah Besut, kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Sebelum ini, lelaki itu dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) ASPRM 2009 dan Seksyen 17 (a) ASPRM 2009 atas kesalahan meminta wang suapan sebanyak RM2,000 dan menerima wang suapan sebanyak RM1,000 daripada dua orang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, mahkamah turut melepas dan membebaskan Abdul Aziz bagi satu pertuduhan lain selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh di bawah pertuduhan pilihan serta persetujuan pihak pendakwaan sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. – UTUSAN