KUALA LUMPUR: Seramai 127 rakyat Palestin termasuk 41 individu yang cedera dan dibawa ke Malaysia untuk rawatan sebelum ini bakal dihantar pulang ke Gaza selepas keadaan di wilayah tersebut diyakini selamat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, proses penghantaran pulang mungkin memakan sedikit masa kerana melibatkan kerjasama antara dua negara.
“Penghantaran pulang ini memerlukan penglibatan pihak kerajaan Mesir, kerana proses ini melalui dua kerajaan.
“Kalau keadaan di Gaza selamat dan mereka boleh pulang, kita akan teruskan proses tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran pulang rakyat Palestin sedang diuruskan oleh Kementerian Luar bersama Kementerian Pertahanan.
Pada 16 Ogos tahun lalu, Malaysia membawa seramai 127 orang rakyat Palestin, termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Gaza bagi mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di ibu negara.
Manakala saudara-mara mereka pula ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).
Mengulas lanjut, Adly berkata, Kementerian Pertahanan akan terus bekerjasama dengan beberapa agensi, kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kelancaran proses penghantaran pulang tersebut. – UTUSAN