PETALING JAYA: Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) yang tempoh visa mereka sudah tamat tempoh dinasihatkan untuk ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia di negara ITU untuk mendapatkan sijil kecemasan bagi pulang ke tanah air.
Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu sebelum pihak berkuasa negara tersebut mengambil tindakan terhadap mereka susulan laporan 1.44 juta individu bukan warganegara AS menerima arahan akhir pengusiran daripada agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Menurut beliau, tindakan serupa juga perlu diambil oleh 435 orang rakyat Malaysia yang berada dalam senarai berkenaan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, setakat ini, Kedutaan Besar Malaysia di AS tidak menerima sebarang notis pengusiran daripada ICE mahu pun pihak berkuasa AS berhubung perkara tersebut.
“Sekiranya mereka datang ke kedutaan, kita boleh berikan bantuan konsulat dengan mengeluarkan sijil kecemasan (emergency certificate) yang membolehkan mereka pulang ke tanah air tanpa sebarang hukuman.
“Tetapi setakat ini, masih tiada yang tampil dan pada masa sama pihak kedutaan juga tidak tahu identiti mereka yang tersenarai dalam tindakan pengusiran tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, rakyat Malaysia yang masuk ke AS melalui ‘jalan tikus’ dari Mexico atau Kanada adalah sangat sedikit sebaliknya kebanyakan mereka masuk secara sah namun tinggal lebih masa.
Katanya, ini mengakibatkan nama mereka masuk dalam senarai penyingkiran apabila pentadbiran Trump menguatkuasakan polisi warga negara asing di AS.
“Kebanyakan mereka masuk ke AS sebagai pekerja dan menetap di New York dan Los Angeles, tetapi disebabkan visa mereka sudah tamat tempoh namun masih kekal di negara AS, ICE mengambil tindakan.
“Nasihat saya, jika ada rakyat Malaysia yang visanya sudah tamat tempoh, datang ke kedutaan, kita akan keluarkan sijil kecemasan untuk pulang ke tanah air sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
Sementara itu, jelas beliau, pengusiran besar-besar membabitkan kira-kira 1.44 juta individu itu adalah disebabkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sedang menepati janji manifesto pilihan raya Presiden tahun lalu untuk mengusir migran asing tanpa dokumen yang menetap di negara itu secara tidak sah.
Katanya, tindakan Trump bukanlah satu kejutan sebaliknya ia adalah janji pilihan raya yang dibuatnya ketika mewakili Parti Republican tempoh hari.-UTUSAN.