Rakan artis sedia hulur bantuan, Amyza Aznan enggan dituduh meraih simpati - Utusan Malaysia

Rakan artis sedia hulur bantuan, Amyza Aznan enggan dituduh meraih simpati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Amyza Aznan, 51, mengakui terkejut dengan niat baik beberapa rakan selebriti yang ingin mengutip sumbangan untuk membantu kos rawatan dan perubatan anaknya, Andre Mikhail yang menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Meskipun terharu, Amyza berkata, dia bimbang sekiranya ada pihak yang beranggapan dirinya mahu meminta sumbangan dan meraih simpati.

“Saya percaya ini adalah usaha rakan-rakan untuk membantu anak saya. Niat baik mereka sangat saya hargai tetapi saya takut jadi salah faham kepada orang luar.

“Saya terkejut sangat bila dapat tahu tentang perkara ini. Tetapi saya tidak mahu orang fikir saya meminta sumbangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Amyza mengulas perkara tersebut selepas mendapat tahu bahawa pelakon Ellie Suriaty dan Didie Alias ingin membuka tabung sumbangan untuk membantu anaknya yang berusia 19 tahun itu.

Bagaimanapun, Amyza menyatakan setakat ini dia masih belum berhubung dengan kedua-dua pelakon versatile itu.

Selain Ellie dan Didie, Amyza memaklumkan pelakon Sheila Mambo dan Sharifah Shahirah juga merupakan antara rakan artis yan menghubunginya untuk menyalurkan sumbangan.

“Sebelum ini, Sheila Mambo ada hubungi saya dan minta nombor akaun untuk menyumbang secara peribadi. Tetapi, saya bagi nombor akaun Andre supaya dia terus salurkan sumbangan itu kepada anak saya.

“Sheila juga ada cakap mahu berkongsi dengan kawan-kawan lain, tetapi saya terpaksa tolak sebab takut orang salah faham. Tetapi ada juga rakan-rakan lain yang turut memberi sumbangan.

“Saya kata kepada mereka sekiranya mahu berikan sumbangan seeloknya sedekahkan kepada rumah anak yatim dan niatkan untuk Andre. Itu lebih besar untuk saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Rindu Kasih tersebut sempat berkongsi keadaan terkini anak lelakinya, Andre yang baru sahaja menjalani sesi rawatan kemoterapi buat pertama kali, semalam.

“Petang semalam (Isnin), anak saya sudah mula menjalani sesi rawatan kemoterapi yang pertama. Alhamdulillah, dia dalam keadaan yang baik dan saya sempat hubunginya tengah malam tadi. Anak saya beritahu dia perlu jalani lagi empat sesi kemoterapi di masa akan datang.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya bimbang dengan situasinya. Banyak perkara yang perlu dipantau terutamanya dari segi pemakanan dan sebagainya.

“Pihak hospital juga ada berkongsi kepada saya kesan sampingan selepas jalani rawatan kemoterapi. Saya amat risau, tetapi saya percaya berkat doa, anak saya akan kembali sihat seperti biasa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya