PETALING JAYA: Melaburkan peruntukan besar untuk menghasilkan album, penyanyi, Elya Guntabid, 22, memaklumkan dia yakin dan tidak meragui kredibiliti pemuzik Indonesia yang bekerjasama dengannya untuk projek berkenaan.
Kata Elya, tidak timbul keraguan atau perasaan was-was setelah dia menyemak sedalam-dalamnya latar belakang sebelum menggunakan khidmat komposer berkenaan.
“Saya kenal komposer tersebut, berulang kali saya dan keluarga semak latar belakangnya meskipun sebelum ini kami mengenalinya menerusi media sosial.
“Tiada keraguan terhadap dia, komposer itu menghasilkan lagu untuk ramai penyanyi di Indonesia, malah saya kenal dengan penyanyi yang pernah bekerjasama dengannya.
“Jadi untuk saya meragui dia, tidak. Dan Alhamdulillah, buat masa ini saya belum pernah ditipu mana-mana penggiat muzik,” kongsinya selepas konsert Calpis Soda One In A Million baru-baru ini.
Penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu ini melihat potensi dirinya sebagai penyanyi justeru tidak teragak-agak untuk mengembangkan kerjaya nyanyian di luar negara.
“Ada yang kata saya berpotensi menyinar di negara luar, sebab itu saya berani ke Indonesia untuk menjalinkan kerjasama dengan pemuzik di sana, “ kongsinya.
Dalam masa yang sama, Elya memaklumkan dia telah melaburkan semua wang simpanannya semata-mata untuk projek muzik di Indonesia.
“Projek ini membabitkan peruntukkan yang besar, tapi tak perlulah saya hebahkan jumlahnya kepada umum kerana dikhuatiri apa yang dirancang ini tidak menjadi di kemudian hari.
“Cukuplah saya kongsikan dana yang saya gunakan itu adalah wang simpanan hasil kerja-kerja membuat persembahan, selain sumbangan daripada rakan dan keluarga.
“Saya memang sejak dulu lagi bergerak sendiri, tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman. Sebab itu, saya guna wang simpanan untuk kembangkan kerjaya seni, “ jelasnya.