PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau menyifatkan hubungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah adalah seperti `bapa dan anak’.
Ujarnya, dalam pertemuan tidak rasmi di istana Raja Abdullah di Riyadh pada 11 Januari 2010, beliau melihat sendiri Raja Abdullah menarik tangan Najib sebelum mereka berdua berjalan berpimpin tangan ke ruangan tengah tempat mesyuarat sambil berbincang berdua tanpa kehadiran orang lain.
Bagaimanapun, Jamil Khir ketika itu mengikuti kedua-dua individu terbabit dari belakang.
“Daripada apa yang saya dengar, Raja Abdullah berhasrat untuk memberikan dana peribadi kepada Najib. Pada pengamatan saya, cara mereka berdua berjalan, bercakap dan berinteraksi, Raja Abdullah dan Najib kelihatan seperti bapa dan anak,”katanya.
Selain itu, bekas menteri yang menjaga hal ehwal agama itu juga menyatakan, Najib tidak mempunyai sebarang kewajiban untuk memaklumkan Kabinet berhubung bantuan dana itu.
Ini kerana, bantuan tersebut adalah untuk tujuan politik Najib dan bukannya sumbangan kepada negara.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi oleh Najib.
Pada 10 Februari lalu, bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Prof. Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf ketika memberi keterangan menyatakan Najib kelihatan teruja apabila memberitahunya berhubung bantuan dana daripada Arab Saudi.
Saksi pembelaan kelima itu menyatakan, makluman berhubung bantuan dana itu diberitahu oleh Najib kepadanya selepas bekas Presiden UMNO itu bertemu dengan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah dalam satu mesyuarat tidak rasmi pada 11 Januari 2010 di Riyadh.
Syed Omar turut memberitahu selepas mesyuarat tidak rasmi tersebut selesai, beliau melihat Raja Abdullah dan Najib meninggalkan tempat mesyuarat dan berjalan jauh ke tengah dewan dan berbincang sesama mereka dengan tekun.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Disember 2014.
Beliau juga didakwa atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. – UTUSAN