SEREMBAN: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) kini menembusi bidang perniagaan keterjaminan makanan dan perhotelan sebagai usaha menjana pendapatan persatuan yang seterusnya keuntungan disalurkan untuk kebajikan ahlinya.
Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan pusat jualan ayam segar di Paroi di sini sejak tiga bulan lalu.
“Setakat ini pasaran kami sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta akan datang di seluruh negara dan ayam segar yang dijual adalah pada harga RM7.50 sekilogram,” katanya kepada pemberita di Pusat Jualan Ayam Veteran PVATM di sini hari ini.
Dalam pada itu juga, katanya, PVATM ‘juga telah menceburi bidang perhotelan dan terdapat dua buah hotel yang kini sedang diubah suai iaitu di Paroi yang mempunyai 150 bilik dan di ibu negara yang mempunyai sebanyak 330 bilik.
“Sewaan hotel ini turut diberikan kepada jabatan atau kementerian kerajaan yang memerlukan penginapan atau untuk mengadakan kursus,” katanya lagi.
Sementara itu, Sharuddin mempelawa ahli-ahli veteran tentera untuk turut sama menjadi rakan niaga menerusi perniagaan dan projek di bawah kendalian persatuan itu.
“Semua ahli mempunyai peluang melabur sebagai rakan niaga supaya apa juga kelebihan dan keuntungannya akan dapat disalurkan untuk kebajikan kepada seluruh ahli.
“Sepertimana perniagaan jualan ayam dan produk seperti ayam perap yang diusahakan, ia secara tidak langsung membuka ruang membangunkan ekonomi, mereka boleh menjadi ejen,” katanya.-UTUSAN