PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menjelaskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak akan ditutup dan masih beroperasi seperti biasa namun, perlu bersaing dengan tiga syarikat yang baharu dilantik.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini semua cawangan Puspakom yang sedia ada boleh terus beroperasi.
“Puspakom tidak akan ditutup cuma kita nak memperkenalkan operator baharu supaya rakyat ada pilihan dan syarikat ada persaingan (dari segi perkhidmatan),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, pembukaan lebih banyak Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bertujuan meningkatkan persaingan sihat serta memastikan pemeriksaan kenderaan yang lebih berkualiti demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Anthony Loke berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus memantau dan memastikan syarikat yang beroperasi sentiasa mematuhi peraturan keselamatan serta memiliki kemampuan teknikal dan kemahiran mencukupi untuk
melaksanakan pemeriksaan kenderaan bagi pihak JPJ.
Ditanya sasaran syarikat yang akan dilantik bagi menjalankan PPKM itu, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai lokasi tertentu bagi PPKM dan ia akan dikawal bagi mengelak persaingan tidak sihat.
“Kita hanya benarkan lebih banyak pusat di kawasan-kawasan yang padat penduduk umpamanya di Selangor,” katanya.
Katanya, pihaknya juga akan memastikan semua infrastruktur dan operasi PPKM bagi tiga syarikat baharu yang dilantik itu sama dengan perkhidmatan ditawarkan Puspakom.
Anthony Loke berkata, setiap syarikat itu akan mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan JPJ selain memastikan setiap perkhidmatan dapat dinikmati pelanggan.
“Kita pantau dari masa ke semasa dan mereka juga perlu diaudit oleh JPJ. Seperti yang saya katakan kita telah berubah daripada model konsesi kepada model pelesenan,” katanya.-UTUSAN