PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menjelaskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak akan ditutup dan masih beroperasi seperti biasa namun perlu bersaing dengan tiga syarikat yang baharu dilantik.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiga syarikat itu ialah Wawasan Bintang Sdn. Bhd. yang bakal beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor; Pakatan Petroleum Sdn. Bhd. pula bagi kawasan Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang serta Beriman Gold Sdn. Bhd. bagi Kuching dan Serian di Sarawak.
“Puspakom tidak akan ditutup cuma kita memperkenalkan operator baharu supaya rakyat ada pilihan dan syarikat ada persaingan dari segi perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Anthony Loke berkata, syarikat yang menerima surat tawaran pelantikan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) semalam diberikan tempoh 24 bulan bagi melengkapkan keperluan infrastruktur.
Katanya, ia termasuk pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pembangunan ini, kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang ditetapkan.
“Lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi sepenuhnya keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.
Ditanya sasaran syarikat yang akan dilantik bagi menjalankan PPKM itu, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai lokasi tertentu dan ia akan dikawal bagi mengelak persaingan tidak sihat.
“Kita hanya benarkan lebih banyak pusat di kawasan-kawasan yang padat penduduk umpamanya di Selangor,” katanya.
Katanya, pihaknya juga akan memastikan semua infrastruktur dan operasi PPKM bagi tiga syarikat baharu yang dilantik itu sama dengan perkhidmatan ditawarkan Puspakom.
Anthony Loke berkata, setiap syarikat itu akan mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan JPJ selain memastikan setiap perkhidmatan dapat dinikmati pelanggan.
“Kita pantau dari semasa ke semasa dan mereka juga perlu diaudit oleh JPJ. Seperti yang saya katakan kita telah berubah daripada model konsesi kepada model pelesenan,” katanya.
Katanya, pelantikan ini dibuat selaras keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka PPKM kepada syarikat-syarikat lyang layak.
Anthony Loke berkata, tiga syarikat dilantik itu terpilih dalam kalangan 12 syarikat memohon menawarkan perkhidmatan itu menerusi permohonan yang dibuka pada 1ulai hingga 31 Oktober tahun lalu.
Katanya, pelantikan dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama iaitu syarikat mempunyai kedudukan kewangan kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, berstatus Sendirian Berhad dan pemilikan tempatan.
“Syarikat juga memenuhi kriteria utama seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Permohonan PPKM manakala lokasi yang dimohon pula adalah selari dengan senarai lokasi Ditetapkan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Katanya, jika syarikat yang dilantik itu gagal membina infrastruktur ditetapkan dalam masa dua tahun maka lesen operasi tidak akan diberikan.
Katanya, syarikat yang tidak berjaya dalam permohonan ini adalah disebabkan kegagalan memenuhi kriteria utama ditetapkan selain beberapa faktor lain yang mempunyai konflik kepentingan.
Beliau berkata, syarikat tidak berjaya atau mana-mana syarikat yang layak boleh mengemukakan permohonan menerusi fasa kedua bermula 1 Mac hingga 31 Jun ini.-UTUSAN