PETALING JAYA: Puspakom Sdn. Bhd. terus menjadi peneraju industri pemeriksaan kenderaan apabila menerima pensijilan ISO 22301:2019 Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCMS).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata pensijilan itu diperoleh daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. itu adalah pensijilan ISO keenam diterima syarikat tersebut.
Katanya, pensijilan itu juga menunjukkan kesediaan syarikat dalam menghadapi sebarang gangguan atau bencana yang tidak dijangka untuk meneruskan operasi.
“Pensijilan ini adalah komitmen kami kepada pelanggan yang menunjukkan bahawa kami sentiasa bersedia menghadapi kejadian tidak dijangka, termasuk bencana alam.
“Sistem ini memastikan operasi dilindungi dan pemulihan pantas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Puspakom merupakan syarikat pertama dalam Kumpulan DRB-HICOM yang memperoleh pensijilan itu bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
Beliau berkata, pada Julai tahun lalu, Puspakom melaksanakan sistem e-Invois lebih awal dari tarikh peluncuran nasional, iaitu pada 1 Ogos 2024.
Katanya, pelaksanaan e-Invois oleh syarikat itu pada 25 Julai 2024, membuktikan komitmen Puspakom untuk memastikan urus niaga yang efisien dan telus kepada pelanggan.
“Pelaksanaan sistem e-Invois lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mencerminkan komitmen Puspakom dalam memastikan urus niaga yang lebih telus, efisien, dan berintegriti.
“Inisiatif ini sejajar dengan usaha kami untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan serta mematuhi standard perniagaan yang terbaik,” katanya.-UTUSAN