PETALING JAYA: Kerajaan melaksanakan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter melibatkan semua kementerian dan jabatan dalam usaha memperkukuh kualiti perkhidmatan awam serta meningkatkan kecekapan penyampaian di kaunter bermula hari ini.
Inisiatif itu bertujuan memperluas kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian skop tugas mereka serta memperkasa pengalaman pelanggan dengan perkhidmatan lebih cekap dan mesra.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, langkah itu sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Melalui pusingan kerja ini, petugas kaunter akan diberi pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter.
“Ia juga membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelaksanaan pusingan kerja itu melibatkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia serta beberapa kementerian lain yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Bagi memastikan kejayaan inisiatif ini, petugas kaunter akan diberikan latihan berkala serta pemantauan berterusan bagi mengekalkan kualiti penyampaian perkhidmatan pada tahap terbaik.
“Kerajaan yakin pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter ini akan memperkukuh perkhidmatan awam negara dan memberikan pengalaman lebih baik kepada rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan kerajaan,” katanya. – UTUSAN