GEORGE TOWN : Polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian jenayah atau seumpamanya sepanjang sambutan Thaipusam di Pulau Pinang setakat ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, buat masa ini, segala perancangan yang diatur berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Untuk pengetahuan, kita telah tempatkan kira-kira 1,500 petugas kita (polis) bermula dari kelmarin (semalam) sehingga esok bagi memastikan perjalanan sambutan perayaan Thaipusam kali ini terkawal sepenuhnya.
“Kita difahamkan, jumlah pengunjung (untuk menyambut Thaipusam) kelmarin sahaja telah mencecah 200,000 orang dan jumlah itu akan terus meningkat pada sebelah petang dan malam ini.
“Jadi, kita juga minta kerjasama daripada pengunjung untuk terus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan supaya perayaan ini dapat disambut dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Program ‘Community Policing Ketua Polis Pulau Pinang’ sempena sambutan Thaipusam di Thaneer Panthal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jalan Brown, Kebun Bunga di sini, hari ini.
Sempena program itu, Hamzah turut meluangkan masa menyantuni pengunjung yang hadir dengan memberikan cenderamata selain membantu mengagihkan makanan dan minuman ringan kepada mereka.
Sementara itu, seorang pengunjung, M. Shamala, 32, berkata, sambutan Thaipusam pada tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya khususnya di Pulau Pinang.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-11-at-12.47.12-472x600.jpeg)
“Setiap tahun saya datang sambut Thaipusam di sini (Jalan Brown, Kebun Bunga). Tahun ini ini bukan sahaja lebih meriah, tapi, saya rasa lebih selamat dengan kehadiran ramai anggota polis di segenap lokasi.
“Walaupun mereka hadir untuk memantau kejadian jenayah di sini, namun, mereka akan menjawab setiap soalan yang kita tanya dengan baik. Jadi, saya gembira dan puas hati,” katanya yang datang ke situ bersama keluarga.-UTUSAN