GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dijangka mengguna pakai model pembangunan wakaf di Mesir untuk membangunkan hartanah wakaf di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Wakaf Mesir bagi menjalankan kajian khusus mengenai pembangunan hartanah wakaf.
“Banyak yang boleh kita pelajari terutamanya berkaitan tanah wakaf yang masih boleh dibangunkan di negeri ini hasil pembentangan oleh Dr. Usamah (Menteri Wakaf Mesir, Al-Allamah As-Syeikh Dr. Usamah As-Sayyid Mahmud Muhammad Al-Azhari) berkenaan model pembangunan wakaf di sana.
“Sebagai contoh, kita mempunyai dana berkaitan istibdal wakaf di bawah Wakaf MAINPP yang mana dengan dana ini kita akan membeli dan mengambil alih tanah-tanah bendang termasuk tanah dusun.
“Dengan mengambil model pembangunan wakaf di Mesir, kita bukan sahaja dapat membangunkan wakaf perumahan dan pendidikan, tetapi, turut memanfaatkan wakaf tanah bendang dan tanah dusun seperti yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada suatu masa dahulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Muzakarah Khas Wakaf di Anjung Seri Mutiara di sini, kelmarin.
Ketika ini, Pulau Pinang menjadi antara negeri perintis dalam pengurusan hartanah wakaf yang melibatkan bangunan komersial, premis kediaman dan tapak tanah wakaf.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, kerajaan negeri melihat wakaf sebagai instrumen strategik bagi memperkukuh pembangunan sosio ekonomi dan pemerkasaan institusi Islam seiring Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI 2030).
Katanya, pelbagai projek dan pembangunan hartanah wakaf telah dan sedang dilaksanakan ketika ini, bertujuan mengukuhkan pemilikan hartanah bumiputera serta memperluas akses kepada perumahan mampu milik dan kemudahan sosial. – UTUSAN