JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini membenarkan rayuan seorang peniaga untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadapnya kerana didapati bersalah mencederakan isterinya sehingga parah sementara menunggu rayuan diputuskan.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap Rosmaini Abd. Raof, 42, selepas meneliti hujah Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd. Said dan peguam bela, Kamal Hisyam Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang bersidang pada 7 Februari lalu.
Katanya, mahkamah menggunakan budi bicara berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak dipengaruhi oleh pandangan umum yang tular dalam media sosial.
“Mahkamah turut mengambil kira isu bermerit dalam rayuan, termasuk dakwaan percanggahan dalam keterangan saksi utama dengan dokumen berkaitan serta keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan saksi itu dipanggil semula oleh pembelaan.
“Berdasarkan alasan tersebut, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman dengan beberapa syarat, antaranya jaminan bercagar sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta keperluan pemohon melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga rayuan selesai,” katanya.
Jika pemohon gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, perintah penggantungan hukuman akan terbatal serta-merta dan waran memenjarakan akan dikeluarkan.
Mahkamah turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula rayuan kes.
Pada 9 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmaini selepas didapati bersalah mencederakan isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, 47, sehingga parah di sebuah rumah di Larkin, di sini, pada 4 Mei 2021.
Kes keganasan rumah tangga terhadap Jahidah yang kini masih terlantar koma mendapat perhatian umum
Wanita itu yang merupakan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengalami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.
Pada 29 November 2021, Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan kira-kira pukul 9 malam di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. – UTUSAN