Proton bina kilang pemasangan EV di Tanjung Malim - Utusan Malaysia

Proton bina kilang pemasangan EV di Tanjung Malim

SAARANI Mohamad (kiri) melihat kereta Proton e.MAS-7 pada majlis pecah tanah pembinaan kilang pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) Proton di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Proton memulakan pembinaan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) dengan pelaburan fasa pertama berjumlah RM82 juta di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, fasa pertama kilang itu dijangka siap pada akhir tahun ini dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 20,000 unit setahun.

Katanya, kilang tersebut akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA) bermula dengan Proton e.MAS iaitu model EV pertama Proton.

“Sasaran kami adalah untuk memulakan pengeluaran model EV tempatan menjelang akhir 2025, seiring dengan perpindahan penuh operasi pembuatan Proton ke Tanjung Malim dan AHTV.

“Ini merupakan pencapaian penting bagi kawasan ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kilang Pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) Proton di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, fasiliti baharu itu akan mengaplikasikan pelbagai teknologi pembuatan pintar bagi memastikan kualiti produk yang tinggi dengan kecekapan maksimum serta kesan minimum terhadap alam sekitar.

“Garis pengeluaran ini menggunakan automasi tahap tinggi termasuk robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi berkaitan Revolusi Industri 4.0.

“Walaupun beroperasi dengan teknologi pengeluaran pintar kilang baharu ini dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu dalam sektor perindustrian EV untuk komuniti tempatan.

“Ini belum termasuk kesan kepada vendor AHTV yang akan meningkatkan operasi mereka bagi membekalkan komponen utama untuk pemasangan EV. Fasa kedua akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun dan akan dilaksanakan berdasarkan permintaan di pasaran Malaysia dan luar negara,” katanya.

Justeru, model yang dikeluarkan di kilang baharu ini bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran tempatan tetapi juga akan dieksport, yang memacu pertumbuhan industri EV negara.

Tambah beliau, pengeluaran di kilang itu akan tertumpu kepada Proton e.MAS 7 serta model kenderaan tenaga baharu (NEV) lain yang akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Kami berharap kejayaan ini dapat membangunkan ekosistem automotif yang moden dan menarik lebih banyak syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) untuk menjadikan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,.

“Proton telah memulakan peralihannya menjadi OEM yang menawarkan model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV sejak penubuhan PRO-NET yang bertanggungjawab menjual kenderaan pintar.

“Pengalaman yang kami kumpul dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai kenderaan EV dan keperluan pelanggan memberi kami keyakinan untuk melangkah ke fasa seterusnya, iaitu membangunkan dan menghasilkan model EV di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya