PONTIAN: Projek Jambatan Sungai Pulai berharga RM800 juta, akan diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Kerja Raya (JKR ) Johor pada Jun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Pengarah JKR Johor, Ir. Zainal Tumian yang menyatakan pihak pemaju telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, sebelum dilakukan penyerahan kepada JKR Johor, pemaju Seaport Worldwide Sdn.Bhd. berjanji akan melakukan kerja-kerja pembaikan jalan yang sering menjadi rungutan para pengguna.
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, memandangkan isu tersebut selalu berlegar di media sosial, JKR tidak dapat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan disebabkan projek tersebut masih dibawah kendalian pemaju.
“Kita berharap tarikh ini (Jun) akan menjadi tarikh akhir untuk pemaju menyerahkan projek berharga RM800 juta kepada JKR bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan selepas ini.
“Pemaju juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab kerana JKR Johor selama ini telah menjadi bahan kritikan dan kecaman seolah-olah tidak peka dengan masalah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis perkahwinan pasangan pengantin Abdul Rahman Abdul Majid dan Nur Afiqah Mohd Izam di Kampung Parit Pak Intan, Parit Sikom, disini.
Sebelum ini tular di media sosial apabila seorang pengguna ‘ Belalang Tempur ‘ menyamakan nasib Jambatan sungai Pulai berharga RM800 juta, kualiti jalannya sama dengan Jambatan Permas Jaya dan Jambatan Taman Perling – Sungai Danga.
Menurut `Belalang Tempur’, jalannya berlekuk, mendap dan tidak diselenggara dengan baik seperti bom jangka kepada pengguna dan sepanjang jalan sehingga ke persimpangan lampu PTP, jalannya `hancur teruk’.
Untuk rekod, jambatan sepanjang 7.5 kilometer yang dibina oleh Seaport Worldwide telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 19 Januari 2023.
Bagaimanapun sehingga kini jambatan tersebut belum diserahkan kepada JKR Johor dan Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn) bagi laluan masuk ke kawasan Perindustrian Tanjung Bin. – UTUSAN