SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatatkan nilai jualan mencecah RM51.2 juta bagi Program Jualan Rahmah Madani tahun lalu berbanding RM12 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, menerusi program itu juga, lebih sejuta orang penduduk negeri ini telah dibantu menerusi peruntukan sebanyak RM11.4 juta yang disalurkan kerajaan.
“Ini menerusi pelaksanaan membabitkan sejumlah 880 program dalam 47 siri dengan 582 program dalam premis, 238 program bergerak dan bakinya iaitu 60 program dilaksanakan menerusi program terbuka.
“Kejayaan ini jelas membuktikan bahawa Program Jualan Rahmah Madani mendapat sambutan baik daripada pemain industri, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jualan Rahmah Madani Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Dataran Centrio Seremban 2 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, Jualan Rahmah Madani Kembali ke Sekolah selepas ini akan diperluaskan dengan konsep mini karnival yang menawarkan pakaian dan peralatan sekolah pada harga berpatutan.
“Program ini mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada 21 pasar raya dan kedai di seluruh Negeri Sembilan.
“Melalui program ini, dianggarkan seramai 111,386 pelajar sekolah rendah dan 88,381 pelajar sekolah menengah di Negeri Sembilan akan menerima manfaat secara langsung,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pembantu Tadika, Noraida Abdul Rahman, 43, berkata, program berkenaan wajar diteruskan setiap tahun kerana dapat membantu mengurangkan belanja ibu bapa malah barangan keperluan sekolah yang ditawarkan juga berkualiti.
“Ibu bapa juga dapat berjimat dengan tawaran harga murah sehingga pengurangan 30 peratus daripada harga pasaran dan tidaklah terasa beban sangat,” katanya. – UTUSAN