Pendidikan STEM UK-Malaysia tingkat pengetahuan pelajar

Program pendidikan STEM UK-Malaysia tingkat pengetahuan pelajar

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada wakil Suruhanjaya Tinggi British sempena Program Pendidikan STEM UK-Malaysia di Tech Dome, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBANYAK 10 buah sekolah di Pulau Pinang menyertai program Pendidikan STEM UK-Malaysia bagi meningkatkan pemahaman dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program tersebut merupakan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri sebagai usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan STEM.

“Program ini juga dapat mengukuhkan hubungan antara United Kingdom (UK) dengan Malaysia.

“Selain itu, dengan ekosistem kukuh yang terdiri daripada syarikat multinasional dan pusat STEM, Pulau Pinang berada pada kedudukan unik untuk memacu Malaysia ke hadapan dalam sains dan teknologi,” katanya, baru-baru ini.

Terdahulu, Kon Yeow hadir merasmikan Program Pendidikan STEM UK-Malaysia di Tech Dome, di George Town, Pulau Pinang. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Khoo Boo Wooi.

Inisiatif program pendidikan STEM UK-Malaysia dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British memulakan programnya di negeri berkenaan yang bermula dari 8 hingga 17 Januari.

Meliputi bidang kritikal seperti biologi, kimia, fizik, kecerdasan buatan (AI) dan robotik, program tersebut bertujuan menginspirasikan minda generasi muda untuk merangkul masa depan dalam bidang STEM.

Menurut Kon Yeow, Tech Dome Penang turut memainkan peranan yang penting dalam mempopularkan STEM di negeri ini.

“Pelbagai aktiviti menarik di Tech Dome telah menarik lebih daripada satu juta pengunjung untuk meneroka keajaiban sains dan teknologi.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, Tech Dome Penang telah menganjurkan 4,433 aktiviti STEM yang memberi impak kepada lebih daripada 580,000 peserta dan menarik 1.35 juta pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, Boo Wooi berkata, pihaknya teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan UK dalam pendidikan STEM.

“Program ini menggabungkan pembelajaran STEM yang canggih dan asas, memberikan pelajar peluang yang tidak ternilai untuk merasai yang terbaik daripada kedua-duanya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN