SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mewujudkan program khas Rakan Muda khusus bagi belia orang kurang upaya (OKU) bertujuan untuk mengasah kemahiran golongan berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, selain program sedia ada yang ditawarkan di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), KBS mahu membuka peluang kepada golongan berkenaan untuk mengembangkan bakat mereka dalam pelbagai bidang.
“Kita akan mulakan dahulu dengan program Rakan Muda untuk golongan belia OKU untuk pengisian masa lapang mereka. Berdasarkan pengalaman tenaga pengajar di sini, belia OKU ini juga memerlukan ruang untuk bersosial dan berkenalan dengan orang lain kerana interaksi itu sangat penting.
“Mereka sudah ada kemahiran bagaimana untuk buat roti dan sebagainya, tetapi mereka juga perlukan latihan untuk berkomunikasi. Contohnya, di sini ada fasiliti padang bola, waktu pagi mereka ini belajar di dapur dan waktu petang sepatutnya mereka diajar bersukan, jadi kita boleh cari bakat baharu (mungkin) atlet para di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang di sini hari ini.
Program tersebut merupakan inisiatif KBS melalui ILKBS yang diperkenalkan sejak 2018 bagi membuka peluang kepada belia autisme dan berkeperluan khas untuk memperoleh kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri serta membina masa hadapan yang lebih terjamin.
Sehingga kini, seramai 287 belia autisme dan berkeperluan khas telah menerima manfaat daripada program berkenaan melalui 13 ILKBS di seluruh negara.
Sementara itu, ditanya sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk menambah bidang latihan yang ditawarkan kepada golongan belia OKU, Hannah menjelaskan perkara tersebut memerlukan maklum balas serta pandangan daripada pelbagai pihak.
“Sebab itu dialog dengan mereka (ibu bapa dan pengajar) sangat penting. Saya percaya ada majikan swasta di luar sana akan beri mereka peluang pekerjaan, tetapi majikan juga perlu sistem sokongan yang kuat.
“Kita tahu Kementerian Pendidikan menyediakan kelas pendidikan khas tapi selepas mereka keluar, apa yang mereka akan lakukan? Jadi kita hendak menyahut cabaran ini dengan memperkasakan sistem sokongan sedia ada bersama belia OKU,” ujarnya. – UTUSAN