GEORGE TOWN : Produk gula-gula ‘gummy’ berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca seorang budak lelaki berumur 10 tahun tercekik dan sesak nafas sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi telah disita.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, terdahulu, sepasukan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah turun padang untuk menyiasat kes berkenaan.
Katanya, produk yang dikenali sebagai ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ itu berjaya dijumpai di sebuah premis di Jalan Sungai Dua, Butterworth sebelum disita sehari selepas kejadian iaitu kelmarin.
Ketika ini katanya, siasatan lanjut berkaitan keselamatan produk makanan itu sedang dijalankan dan tindakan selanjutnya akan diselaras di peringkat ibu pejabat Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya juga mewakili kerajaan negeri untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, dilaporkan mengalami kesukaran bernafas selepas tersedak ketika mengunyah gula-gula tersebut dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi.
Mengulas lanjut, Daniel turut meminta orang ramai terutama ibu bapa untuk memantau dan menasihatkan anak-anak mereka supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik.
“Sebarang pengambilan apa-apa makanan untuk kanak-kanak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“Pada masa yang sama, pihak JKNPP akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang,” uajr beliau.-UTUSAN