TAWAU: UMNO tidak akan menutup pintu kerjasama dengan mana-mana pihak yang memberi keuntungan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan sentiasa membuka pintu secara sepatutnya bagi membolehkan UMNO memperoleh bilangan kerusi yang lebih berbanding PRN yang lalu.
“Kita tidak mahu perolehi kerusi sebagaimana kita peroleh pada PRN lalu dan kita sentiasa membuka pintu secara sepatutnya…kita tidak akan menutup pintu serapat-rapatnuya.
“Ertinya, kita sedia bekerjasama dengan pihak yang memberikan keuntungan politik kepada UMNO dan BN Sabah,” katanya selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-34 di Kompleks Sukan, di sini hari ini.
Menyentuh tentang pemilihan calon PRN17, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan kuasa autonomi, Ketua UMNO Sabah dan timbalan serta kepimpinannya mempunyai autonomi memilih calon namun, lazimnya mereka akan turut memaklumkan kepada UMNO Pusat mengenai pemilihan berkenaan.
Ditanya tentang kedudukan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, beliau berkata, kedudukan Andi telah ditetapkan oleh Lembaga Disiplin UMNO sebelum ini dan mereka berpegang kepada keputusan tersebut.
Kata beliau, Majlis Tertinggi UMNO meletakkan peraturan UMNO di kedudukan teratas terhadap mana-mana ahli yang terlibat.
Maka, persoalan Andi boleh dicalonkan semula atau tidak pada PRN17, masih terlalu awal untuk diputuskan.
“Terlalu awal untuk kami fikirkan dan saya akan berunding dengan Ketua UMNO Sabah untuk menentukan sama ada seseorang itu boleh diberi peluang lagi atau sebaliknya,” katanya.
Andi Muhammad Suryady antara dua Ahli Parlimen UMNO Sabah yang dikenakan tindakan disiplin dan keahlian mereka digantung selama enam tahun. Seorang lagi pemimpin UMNO yang turut dikenakan tindakan disiplin adalah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya.
Kedua-dua mereka antara pemimpin UMNO yang membelakangkan keputusan parti untuk menarik sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa berlaku Langkah Kinabalu pada Januari 2023. – UTUSAN