KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi bayangan akan bertanding di kawasan utara Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bekas Speaker Dewan Rakyat itu memaklumkan sudah tiba masanya untuk beliau memilih kawasan lain untuk bertanding pada PRN kali ini.
Beliau berkata, selaku pemimpin yang tahu bagaimana tradisi Barisan Nasional (BN), beliau mempunyai kemahiran dalam berunding mengenai kerusi yang akan ditandingi.
“Saya rasa saya masih kuat walaupun saya bertongkat tetapi saya berkelayakan untuk bertanding dan boleh menang. Tetapi, kalau calon yang bertanding muda-muda, saya tidak akan terhegeh-hegeh untuk bertanding, malulah saya.
“Jika orang berusia macam saya dikatakan tidak tanding maka, Masidi (Datuk Seri Masidi Manjun) juga tidak boleh bertanding kerana umurnya sudah 74 tahun, Jeffrey (Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan) pun tidak boleh bertanding kerana umurnya 76 tahun,” katanya pada Program Jelajah USNO Peduli Rakyat di Zon 3 di Kampung Warisan Inanam, hari ini.
Dalam pada itu, Pandikar Amin menyifatkan tugas yang diberikan kepada USNO agak mencabar kerana perlu masuk ke kawasan DUN Kunak, Sekong dan kawasan utara Sabah.
“Tugas saya boleh dianggap mencabar kerana Ketua Menteri secara berseloroh mengarahkan saya untuk masuk ke kawasan pengundi pesisir pantai di mana Parti Warisan (Warisan) agak kuat.
“Jika lihat kawasan Kudat iaitu Tanjung Kapor dan Banggi itu dahulu adalah kawasan Warisan.
“Biarpun mereka telah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), saya masih menganggap itu kubu kuat Warisan kerana bukan semua rakyat yang mengundi kedua-dua wakil rakyat itu berhijrah kepada Gagasan Rakyat,” katanya.
Sementara itu, katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bertanding di kesemua 73 kerusi pada PRN17 selaras dengan hasrat merealisasikan slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.
Pandikar Amin berkata, 73 kerusi yang dipertandingkan itu seharusnya dibahagikan antara lapan parti yang menganggotai GRS dan bukannya diberi kepada ‘keluarga besar’ dari Semenanjung Malaysia. – UTUSAN