PETALING JAYA: Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini sebagai lawatan pertamanya sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016.
Beliau diiringi oleh tujuh menteri Kabinet termasuk Menteri Luar Negeri, Bakhtiyor Saidov serta pegawai kanan kerajaan Uzbekistan.
Majlis sambutan rasmi bagi Mirziyoyev akan diadakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada esok diikuti dengan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan terutama dalam perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan.
Perbincangan itu merupakan susulan lawatan Perdana Menteri ke Uzbekistan pada Mei 2024.
Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, tiga Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani melibatkan kerjasama dalam bidang Kesihatan, Sains Forensik dan Budaya.
Selain itu, empat pertukaran nota akan dimeterai dalam bidang pengajian tinggi, latihan diplomatik, halal dan kastam.
Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan mesyuarat makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana sebagai penghormatan kepada Mirziyoyev.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di Kuala Lumpur, bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dan perniagaan antara kedua-dua negara.
Pada sebelah malam, Mirziyoyev dan Anwar akan menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Petronas.
Daripada segi perdagangan, jumlah dagangan Malaysia dengan Uzbekistan pada 2024 mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (AS$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (AS$94 juta) pada 2023.
Malaysia turut mencatat lebihan dagangan sebanyak RM360.3 juta (AS$78.9 juta) dan Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Tengah.
Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan strategik antara Malaysia dan Uzbekistan serta membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor ekonomi dan diplomasi. – UTUSAN