KUALA LUMPUR: Seramai 34 warga asing termasuk 27 wanita dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling, di sini, awal pagi tadi.
Serbuan Op Gegar kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu dijalankan susulan laporan diterima seorang wanita tempatan yang memaklumkan suaminya kerap ke pusat hiburan terbabit sehingga gagal memberi nafkah.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 90 individu daripada pelbagai warganegara membabitkan pengunjung serta pekerja premis diperiksa pihaknya dalam serbuan terbabit.
Katanya, seramai 34 individu termasuk 27 wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an telah ditahan membabitkan pelbagai kesalahan.
“Semakan ke atas tangkapan mendapati tiga merupakan warga tempatan, Thailand (16 orang), Laos (6 orang), Myanmar (5 orang) dan Vietnam (4 orang).
“Wanita yang ditahan ini disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) yang menerima tip daripada pelanggan untuk teman minum dan berhibur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati warga tempatan dipercayai berperanan sebagai pengurus, bouncer serta penjaga wanita asing terbabit.
Beliau berkata, pelbagai kesalahan dikesan ke atas warga asing yang ditahan antaranya tiada pas atau permit sah serta langgar syarat pas.
Tegasnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Tangkapan warga tempatan juga disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.- UTUSAN