Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyantuni 30 pelajar sekolah rendah daripada Kampung Kerdas, Gombak menerusi program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani (1P1KSM)’.
Inisiatif tersebut bertujuan untuk memberi manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan serta membantu mereka dalam penyediaan keperluan persekolahan. Ini juga dapat memberikan pengalaman bermakna dan semangat kepada para pelajar menghadapi sesi persekolahan baharu.
Para pelajar telah dibawa menaiki bas khas Rapid KL ke pusat membeli-belah Aeon Mall di Wangsa Maju untuk memilih sendiri pakaian persekolahan seperti baju sekolah, beg dan kasut baharu.
Selain membeli keperluan persekolahan, para pelajar ini telah diberikan taklimat mengenai operasi Rapid KL dan kepentingan menggunakan pengangkutan awam.
Langkah tersebut penting bagi memberi kesedaran dan ilmu kepada pelajar sekolah bagi melahirkan generasi yang cakna terhadap penggunaan pengangkutan awam dan kelestarian alam sekitar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Prasarana untuk mendekati masyarakat dan memberikan sokongan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya dalam aspek pendidikan. – UTUSAN