GUA MUSANG: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bercadang menjadikan penempatan Orang Asli Pos Simpor di sini, yang masih ketinggalan daripada segi pembangunan dan infrastruktur sebagai Kampung Angkat Madani.
Pengerusinya, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah berkata, Pos Simpor yang terletak lebih 70 kilometer dari bandar Gua Musang memerlukan bantuan bagi memastikan keperluan penduduk terus terbela.
“Saya bersama rombongan telah turun padang ke Pos Simpor dan melihat banyak permasalahan di kawasan itu termasuk jalan perhubungan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
“Saya bercadang jadikan Kampung Jader Lama dan kampung-kampung yang berada di Pos Simpor ini sebagai Kampung Angkat Madani dan diletakkan di bawah seliaan LKTN agar tiada rakyat yang tercicir mendapat bantuan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sebanyak 1.5 tan metrik bakul makanan kepada 213 keluarga di Pos Simpor, semalam.
Wan Abd. Rahim berkata, penduduk sering berdepan masalah jalan perhubungan rosak ketika cuaca hujan yang menyebabkan mereka sukar mendapatkan bekalan makanan asas dari bandar.
“Penyerahan bakul makanan untuk penduduk di Pos Simpor dipilih kerana jaraknya dari bandar Gua Musang yang jauh. Jarak perjalanan sehala mengambil masa dua jam sekiranya keadaan jalan tidak hujan.
“Jika cuaca hujan penduduk mengambil masa sehingga empat hingga lima jam sehala kerana jalan licin dan becak. Kami berharap bantuan makanan yang disampaikan dapat meringankan beban keluarga Orang Asli terlibat,” ujarnya. – UTUSAN