Polisi BMI baharu tentera bakal dilaksanakan - Utusan Malaysia

Polisi BMI baharu tentera bakal dilaksanakan

V. THAMARAJ (tengah) bersama Ahmad Fauzan (kiri) dan Mohd. Nor (kanan) menerima Anugerah Pisau Tentera Darat yang disampaikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusasda, Port Dickson semalam. – MINGGUAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polisi indeks jisim badan (BMI) baharu memba­bitkan pegawai serta ang­gota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat dengan mengambil ki­ra julat umur serta kesesuaian aktiviti pasukan bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, sebagai sebuah organisasi ketenteraan, sememangnya peraturan atau syarat-syarat asas pertimbangan bagi menjalani kursus kerjaya atau dinaikkan pangkat bergantung kepada BMI.

“Bagaimanapun, kami telah kaji semula polisi BMI yang diguna pakai ini supaya ia rele­van dan sesuai dengan keadaan semasa. Perlu difahami, BMI bukanlah satu konsep pengu­kuran fizikal yang optimum kerana belum tentu individu dalam lingkungan indeks dibenarkan mempunyai fizikal yang cukup kuat dan perkasa.

“Kita mahu seorang anggota tentera yang berbadan tegap dan maskulin. Contohnya, anggota yang bina badan, tentunya otot berat. Kalau tak tinggi, BMI anggota ini tetap akan tinggi, begitu juga anggota sukan lasak.

“Kajian ini di peringkat akhir dan bakal dilaksanakan (tidak lama lagi). BMI ini juga akan mengambil kira julat umur tertentu bagi memastikan ia relevan dan boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini semalam.

Untuk rekod, BMI yang ditetapkan bagi anggota serta pegawai Tentera Darat ketika ini ialah pada paras 26.9 ke bawah.

Sementara itu, beliau berkata, Tentera Darat bakal menggunakan pendekatan lebih bertolak-ansur membabitkan kriteria pengambilan perajurit muda selepas ini terutama sekiranya pemohon memiliki kemahiran dalam bidang tertentu.

Muhammad Hafizuddeain ber­­kata, langkah itu dilaksanakan memandangkan Tentera Da­­rat membuat pengambilan sekitar 5,000 anggota setiap tahun.

Menurutnya, walaupun ca­ba­ran berkenaan bukanlah kri­ti­kal, namun ia cukup membimbangkan kerana pasukan kurang mendapat sumber bakal perajurit muda yang betul-be­tul berkualiti dan layak.

“Kita telah membincangkan mungkin selepas ini kita tidak terlalu kritikal, tegas dalam aspek fizikal contohnya ketinggian, mungkin kurang satu, dua sentimeter kita boleh tolak ansur.

“Penglihatan pula, macam kurang, kita boleh ambil tindakan dalam perkhidmatan nanti iaitu secara lasik atau membuang ketarak dan sebagai­nya. Kita akan pertimbangkan terutamanya calon-calon yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi, teknikal dan sains,” katanya yang bagaima­napun menegaskan tidak akan berkompromi daripada segi ke­sihatan tubuh badan.

Sementara itu, pada majlis sama beliau turut menyampaikan Anugerah Pisau Tentera Darat kepada tiga orang pe­nerima iaitu Sarjan V. Thamaraj, 29; Sarjan Ahmad Fauzan Abd. Hadi, 33, dan Staf Sarjan Mohd. Nor Khalid, 41.

Thamaraj yang merupakan Anggota pasukan 9 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja merupakan pesilat negara yang meraih kejuaraan pada Kejohanan Pencak Silat Dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Disember tahun lalu bersama Ahmad Fauzan.

Mohd. Nor pula merupakan individu yang membantu menyelamatkan empat remaja belasan tahun yang hampir lemas di sebuah tasik di Puncak Alam pada November tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya