Polisi BMI baharu tentera bakal dilaksanakan

Polisi BMI baharu tentera bakal dilaksanakan

MUHAMMAD Hafizuddeain Jantan sewaktu berucap Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusasda, Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polisi indeks jisim badan (BMI) baharu membabitkan pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat dengan mengambil kira julat umur serta kesesuaian aktiviti pasukan bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, sebagai sebuah organisasi ketenteraan, sememangnya peraturan atau syarat-syarat asas pertimbangan menjalani kursus kerjaya atau pertimbangan dinaikkan pangkat bergantung kepada BMI.

“Bagaimanapun, kami telah kaji semula polisi BMI yang diguna pakai ini supaya ia relevan dan sesuai dengan keadaan semasa. Perlu difahami, BMI bukan lah satu konsep pengukuran fizikal yang optimum kerana belum tentu individu dalam lingkungan indeks dibenarkan mempunyai fizikal yang cukup kuat dan perkasa.

“Kita mahu seorang anggota tentera yang berbadan tegap dan maskulin. Contohnya, anggota yang bina badan, tentunya otot berat. Kalau tak tinggi, BMI anggota ini tetap akan tinggi, begitu juga anggota sukan lasak.

“Kajian ini di peringkat akhir dan bakal dilaksanakan (tidak lama lagi). BMI ini juga akan mengambil kira julat umur tertentu bagi memastikan ia relevan dan boleh diguna pakai,”

katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini hari ini.

Untuk rekod, BMI yang ditetapkan bagi anggota serta pegawai Tentera Darat ketika ini ialah pada paras 27 ke bawah.

Sementara itu, beliau berkata, Tentera Darat bakal menggunakan pendekatan lebih bertolak-ansur membabitkan kriteria pengambilan perajurit muda selepas ini terutamanya sekiranya pemohon memiliki kemahiran dalam bidang tertentu.

Muhammad Hafizuddeain berkata, langkah itu dilaksanakan memandangkan Tentera Darat membuat pengambilan sekitar 5,000 anggota setiap tahun.

Menurutnya, walaupun cabaran berkenaan bukanlah kritikal, namun ia cukup membimbangkan kerana pasukan kurang mendapat sumber bakal perajurit muda yang betul-betul berkualiti dan layak.

“Kita telah membincangkan mungkin selepas ini kita tidak terlalu kritikal, tegas dalam aspek fizikal contohnya ketinggian, mungkin kurang satu, dua sentimeter kita boleh tolak ansur.

“Penglihatan pula, macam kurang, kita boleh ambil tindakan dalam perkhidmatan nanti iaitu secara lasik atau membuang ketarak dan sebagainya. Kita akan pertimbangkan terutamanya calon-calon yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi, teknikal dan sains,” katanya.

Jelas beliau lagi, masalah pengambilan sumber manusia dalam ketenteraan itu bukan hanya di hadapi negara ini, bahkan di negara-negara lain seperti di Australia.

“Australia pun menghadapi masalah pengambilan yang cukup kritikal sehinggakan mereka tidak meletakkan sebarang had umur kepada pemohon. Jadi, kita akan optimumkan keupayaan calon-calon ini supaya menjadi aset kepada perkhidmatan berbanding menghukum mereka di atas kekurangan fizikal (ketinggian) yang mereka ada.

“Ini yang juga dibuat di banyak negara-negara, kita boleh gilap dia menjadi pakar, mungkin tidak perlu diletakkan di barisan hadapan, namun, jika dia seorang yang pakar dalam bidang komputer, kenapa tidak, sebab kita dalam usaha membentuk kita punya cyber force,” katanya yang bagaimanapun menegaskan tidak akan berkompromi daripada segi kesihatan tubuh badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya