Polis tumpaskan sindiket proses cecair vape syabu bernilai RM9.9 juta

Polis tumpaskan sindiket proses cecair vape syabu bernilai RM9.9 juta

HUSSEIN Omar Khan pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, Selangor petang tadi. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Memproses cecair vape syabu di makmal dan menjualnya ke pasaran gelap secara dalam talian.

Itu modus operandi satu sindiket yang dikesan bergiat aktif menjalankan kegiatan mengedar cecair dadah itu sejak enam bulan lalu bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Kumpulan dianggotai seorang wanita tempatan bersama enam lelaki termasuk lima warga asing itu bertindak memproses cecair syabu dan turut menjualnya secara runcit kepada pelanggan tetap.

Kegiatan haram itu bagaimanapun terbongkar selepas digempur Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (JSJN) Selangor dalam beberapa serbuan di sekitar Seri Kembangan dan Puchong, antara 17 Februari hingga kelmarin.

Selain penahanan tujuh suspek berusia 21 hingga 37 tahun, serbuan membawa kepada rampasan cecair vape disyaki mengandungi syabu bernilai RM9.9 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil risikan pihaknya selama sebulan menahan seorang wanita yang memegang sampul plastik berisi dua kotak katrij cecair itu di sebuah kondominium, kira-kira pukul 7.40 malam, Isnin lalu.

Jelas beliau, suspek kemudian memandu arah ke kawasan sama yang menemukan 58 lagi kotak katrij sama.

“Ia membawa kepada serbuan di sebuah premis yang dijadikan makmal pemprosesan cecair vape syabu dan menahan lima warga asing.

“Pemeriksaan lanjut merampas sebanyak 33,019 kota katrij berisipadu 133,000 mililiter (ml) bersama 43 tong dan botol berisi cecair kimia selain alat memproses dan pembungkusan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.

Menurut Hussein, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki tempatan di Puchong yang berperanan sebagai pembancuh bagi menghasilkan cecair dadah itu, kelmarin.

“Siasatan mendapati wanita yang sudah berkahwin dan enam lelaki itu bekerja sepenuh masa dengan sindiket.

“Seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala dua lagi didapati positif dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, sindiket itu mampu memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta sebulan dengan menjual cecair itu kepada pasaran gelap.

“Kita percaya cecair dadah itu dicampur dengan cecair vape biasa dan harganya dijual antara RM270 hingga RM350 sebotol. Harga itu bergantung kepada permintaan pelanggan sama ada mahu ‘dos’ yang lebih tinggi atau sebaliknya,” katanya.

Kesemua suspek kini direman selama lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya