DUNGUN : Polis telah menerima laporan perubatan lengkap daripada Hospital Kemaman berhubung kes pukul seorang lelaki kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental di pasar pagi di Padang Astaka Chukai, Kemaman, baru-baru ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
“Laporan perubatan telah kita peroleh dan kertas siasatan akan dikembalikan kepada pihak pendakwa raya esok untuk dirujuk semula bagi mendapatkan arahan selanjutnya sama ada dituduh atau sebaliknya.
“Berdasarkan siasatan yang kita buat, pihak pendakwa raya akan kaji sama ada semua suspek akan dituduh atau bagaimana, bergantung kepada esok,” katanya selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 17 Januari lalu, mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dibelasah beberapa individu selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.
Susulan itu, enam individu dipercayai terlibat dalam insiden itu telah ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Berhubung kes pempengaruh yang ditahan selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan berkaitan kes pukul itu di media sosial, Mohd. Khairi berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melengkapkan kertas siasatan.
Pada 26 Januari lalu, pempengaruh berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – UTUSAN