SEREMBAN : Polis Negeri Sembilan bersedia termasuk menambah bilangan keanggotaan bagi memastikan kawalan keselamatan dan kelancaran acara beberapa mesyuarat sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang turut akan diadakan di Port Dickson Oktober nanti.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menjangka ia akan melibatkan 20 hingga 30 peratus penambahan anggota.
“Seperti diketahui daerah Port Dickson menjadi satu daripada lokasi Mesyuarat ASEAN oleh itu, pihak polis bersedia dalam segala aspek.
“Kami juga akan menambah bilangan anggota bertugas dengan mengambil dari daerah berdekatan untuk penugasan. Dijangka 20 hingga 30 peratus tambahan bilangan anggota bagi satu-satu lokasi acara yang dijadualkan bagi menampung keanggotan sedia ada di daerah tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Cakna Komuniti Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Pusat Penjagaan Orang – Orang Tua (House of Megaways Care Centre) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir mengingatkan kepada masyarakat supaya bersama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat kejadian jenayah yang berlaku khususnya di kawasan kejiranan.
“Selain itu, saya turut meminta masyarakat agar berhati- hati dengan kes penipuan melibatkan pelaburan kerana kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan, penganggur dan bekerja sendiri. J
“Saya menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati jika dihubungi panggilan meragukan dan terus melaporkan balai polis berdekatan, ” katanya. – UTUSAN