PETALING JAYA: Polis menahan pasangan suami isteri merupakan pemilik gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G. K Shan Gopal berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dibebaskan dengan jaminan polis manakala isterinya yang juga warga Indonesia berusia lingkungan 50-an telah direman mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, wanita itu didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa.
“Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti motif kejadian.
“Kita telah merekod keterangan tujuh orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas memaparkan papan tanda berunsur perkauman, telah memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X berkata, peniaga tersebut juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.
Media turut melaporkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad yang menegaskan bahawa melabel sesuatu kaum dengan istilah menghina adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan prinsip keharmonian negara.
Kata Nik Nazmi, insiden sebegini tidak mewakili keseluruhan sesuatu kaum, sebaliknya hanya melibatkan segelintir individu yang bersikap ekstrem dan rasis.- UTUSAN