KUALA TERENGGANU: Polis menahan enam individu kerana disyaki terlibat menggunakan dokumen palsu untuk permohonan pembiayaan peribadi membabitkan kerugian sebanyak RM1.3 juta menerusi tangkapan di beberapa negeri, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, turut ditahan adalah seorang pegawai institusi kewangan di daerah ini.
Katanya, polis merampas 15 unit kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan enam telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kes tersebut.
“Pada 28 Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu pengurus sebuah syarikat institusi kewangan di Kuala Terengganu yang mendakwa telah ditipu dalam urusan pembiayaan pinjaman peribadi melibatkan kerugian sebanyak RM1.325 juta.
“Menurut fakta kes, sekitar bulan Januari hingga April 2024 lalu, institusi kewangan itu menerima permohonan pembiayaan daripada tujuh pelanggan dan meluluskan permohonan pinjaman tersebut sebanyak RM1.325 juta.
“Selepas pembiayaan diluluskan, kesemua mereka gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan dan hanya menyamar sebagai penjawat awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kesemua mereka yang ditahan itu berusia lingkungan 26 tahun hingga 55 tahun.
Selain itu, Mohd. Khairi berkata, hasil audit dalaman institusi kewangan terbabit mendapati kesemua individu tersebut mengemukakan dokumen serta data yang dipalsukan bagi mendapatkan kelulusan pinjaman.
“Hasil risikan, seramai enam individu iaitu empat wanita dan dua lelaki ditahan Isnin lalu di Terengganu, Johor dan Selangor.
“Polis akan membuat beberapa tangkapan lagi dalam masa terdekat dan merampas duit atau aset yang diperolehi daripada kesalahan penipuan tersebut,” katanya. – UTUSAN