PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat dakwaan empat anggotanya melakukan pemerasan dan serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, siasatan dijalankan selepas satu video tular dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook dikenali sebagai En Abdul semalam.
Katanya, rakaman berkenaan menunjukkan serbuan dilakukan empat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Pelangi Damansara.
“Polis mengesahkan serbuan tersebut adalah operasi rasmi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya ketika Op Tapis pada 10 Oktober 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook mendakwa dirinya menjadi mangsa pemerasan oleh empat anggota polis yang menyerbu kediamannya.
Dalam dakwaan itu, anggota terbabit dikatakan bertindak memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) sebelum melakukan pemerasan.
Shahrulnizam berkata, pihak polis telah membuka siasatan bagi meneliti dakwaan yang ditularkan di media sosial.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam kejadian ini,” katanya.-UTUSAN