SEREMBAN: Kegiatan sebuah makmal memproses dadah berjaya dibongkar hasil serbuan anggota polis di sekitar Nilai di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah dipercayai jenis kokain dengan anggaran berat 2,145 gram yang dianggarkan bernilai RM429,000 dan menahan dua lelaki warga tempatan dan tiga warganegara asing berumur dalam lingkungan 27 hingga 38 tahun.
“Turut dirampas pelbagai jenis serbuk dan cecair bahan kimia bersama peralatan elektrik yang disyaki untuk memproses dadah.
“Serbuan juga berjaya menyita empat kenderaan, wang tunai sebanyak RM66,830, pelbagai mata wang asing anggaran RM29,822.70, pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan bernilai lebih RM400,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati seorang warga tempatan dan seorang warganegara asing positif dadah jenis Methamphetamine dan Benzo.
“Semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai rekod atas kesalahan jenayah dan dadah. Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 18 sehingga 24 Februari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(α) Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya. – UTUSAN