Polis serbu kilang e-waste haram, temui 50,000 kg beg berisi peluru, kelongsong

Polis serbu kilang e-waste haram, temui 50,000 kg beg berisi peluru, kelongsong

TIMBALAN Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi (kiri) ketika melihat kelongsong peluru yang diproses untuk mendapatkan tembaga pada operasi bersepadu di sebuah kilang logam yang beroperasi secara haram di kawasan Kampung Teluk Mengkuang di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan sisa elektronik atau e-waste termasuk kira-kira 50,000 kilogram (kg) bungkusan mengandungi peluru dan kelongsong di sebuah kilang di Teluk Panglima Garang di sini hari ini. 

Operasi Hazard kira-kira pukul 9 pagi itu dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, Op Hazard tersebut dijalankan hasil risikan pihaknya terhadap kilang memproses sisa e-waste secara haram yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen yang sah. 

Katanya, siasatan awal mendapati kilang tersebut memproses sisa e-waste yang dibawa masuk dari luar negara. 

“Selain barang e-waste, kita turut menemukan kira-kira 50 beg peluru termasuk anak peluru serta kelongsong yang setiap satu dianggarkan seberat satu tan. 

“Siasatan awal percaya peluru-peluru ini bukan dari Malaysia dan kita sedang kenal pasti dari mana sumbernya,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Teluk Panglima Garang, di sini hari ini. 

Menurut Mohamad Suzrin, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, peluru serta kelongsong akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati premis dipercayai beroperasi tidak berlesen.

“Kita turut menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 70 pekerja selain menahan lima pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah,” katanya. 

Tegasnya, ini merupakan keperluan dalam usaha membasmi e-waste haram daripada merosakkan alam sekitar negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Op Hazard ini dilaksanakan serentak di 47 lokasi di seluruh negara. 

“Operasi ini melibatkan seramai 765 pegawai dan anggota PGA dan PGU di seluruh negara serta 51 JAS.

“Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007 dan Kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imigresen , Seksyen 18, 19, 25, 34a dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azlan Ahmad berkata, pihaknya mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen melerai dan melebur.

“Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya.

“Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Kita memandang serius perkara ini,” ujarnya.

Tinjauan mendapati kilang terbabit turut menempatkan penempatan bagi kediaman pekerja disyaki warga asing yang menggunakan kontena selain beberapa dapur tempat peleburan juga dikesan bersama beberapa jongkong timah. 

Selain itu, pelbagai timbunan bertan guni berisi pelbagai sisa e-waste juga dipercayai dalam tindakan untuk dilerai oleh pekerja asing terlibat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya